Kembara Bali

Melancong guna wang sendiri yang terhad,jadi destinasinya pun dekat saja dengan Malaysia.Kalau jauh-jauh tu rasanya tak mampu buat masa ini.Seperti yang kita semua tahu Bali memang terkenal dengan budaya dan upacara-upacara kehindunya. Memang menarik buat aku ,sebab di Malaysia kita tidak melihat mereka yang berwajah iras-iras aku ,atau lebih tepat berbangsa Nusantara bertafakur di kuil. Dengan tapak tangan masing-masing rapat, sambil memejam mata. Disini aku ceritakan tempat yang aku lawati dan budget belanja supaya boleh dijadikan panduan buat anda sekalian di suatu hari nanti. Mungkin ada antara kamu yang boleh turut berkongsi pengalaman disini.



Percutian aku ini turut disertai oleh sahabat aku ,Saudara Fitri.Atau lebih aku kenali sebagai Fit.Siapa tak tahu berkenaan promosi tambang rendah AirAsia. Jadi promosi yang sentiasa berjalan setiap masa ini, digunakan aku. Rasanya awal bulan Julai aku menempah tiket ke Bali.Terpampang di muka akhbar The Sun. Tanpa berlengah ,beritahu Fit dan terus setuju.Cuma tiket sahaja yang sudah pasti dapat. Yang lain , nanti bila sampai ke Bali nanti baru akan difikirkan.

7 September, Khamis

Lebih kurang pukul 1 petang kami sudah bertolak ke LCCT. Siapa yang menghantar kami ? Nasib baiklah ada si Midi yang teramat baik hati.Bekas teman serumah Fit yang baru sahaja melangsungkan perkahwinannya.Pada mulanya Midi turut merancang untuk turut serta, tetapi memandangkan majlis perkahwinan yang semakin sudah hampir pada ketika itu dan kesuntukan masa , hajat Midi nampaknya tidak kesampaian.Nak buat macam mana kan? Dalam menuju ke LCCT ,sempat juga kami singgah di Nilai untuk mengambil gambar perkahwinan Midi yang baru sahaja siap dicetak.Midi ni orang Nilai sebenarnya. Majlis tersebut sebenarnya turut menjadi seisi ekperimen aku dengan kamera terchinta.Lebih kurang pukul 4 check in dan berlepas ke Bali. Thanks buat Midi sekeluarga.

Tiba di Bali lebih kurang jam 8 malam. Mula-mula kami ambil teksi ke bandar Kuta. Aku dan Fit mulanya meminta pertolongan pemandu teksi mencadangkan hotel penginapan.Jadi pemandu tersebut mencadangkan sebuah banglo hotel ,Puspa Ayu Bungalow yang bayarannya Rp 180,000 semalam. Tapi rupanya bila kami survey, BANYAK lagi guesthose yang jauh lebih murah. Sakit jugak hati bila mula-mula yang terkena charge berlebihan.Orang pemalas macam kami mana nak buat survey sebelum pergi? Jangan haraplah...Malam tersebut kami cuma pusing-pusing sekitar bandar Kuta. Kami turut mengambil kesempatan bertanya tentang pemandu pelancong.Sebab dari laman-laman web di internet, ramai mencadangkan dapatkan pemandu pelancong untuk meronda-ronda di Pulau Bali.

Yang kami sakit hatinya , kebanyakan guesthouse kadar bayarannya jauh lebih rendah, malah lebih selesa @$#%^$^#$ .Setelah penat berpusing-pusing sekitar Kuta, kami tiba di Tunjung Bali Inn yang terletak di Jln Poppies II ,kadar sewanya Rp70,000 (+/- RM30) semalam.Penyambut tetamunya pada malam tersebut bernama Godang,beliau Penduduk asal Kuta.Kami diberi peluang untuk melihat dahulu contoh bilik yang ditawarkan.Setelah berpuas hati keadaan bilik yang ,terus kami menempah bilik untuk keesokan harinya.Selesai target untuk dapatkan bilik untuk orang-orang murahan seperti kami.Seterusnya ialah pemandu pelancong, Ehmm... memandangkan si Godang ni nampak macam OK, kami bertanya pula tentang sesiapa yang boleh menjadi pemandu pelancong kami. Beliau menolong kami mencadangkan pemandu pelancong yang bernama Putu.

Bila bertemu Putu kami berbincang tentang arah destinasi yang mahu kami lawati. Gunung,Ukiran Kayu,Tarian Barong,Ubud Monkey Forest,Tanah Lot,Pura.Aku pun tak tau sama ada bayaran nya mahal atau tidak, tapi pada kami murah dari harga-harga yang telah kami survey di sekitar Kuta pada malam tersebut. Rp350,000 (+/- RM150) Dengan naik Toyota Kijang, atau disini ala-ala Unser,tidak termasuk bayaran masuk . Memandangkan Putu sudah mempunyai pelanggan pada keesokkan harinya, jadi kami tidak menempah dahulu , sebabnya ...biasa aa..last minutes decision.

Sebelum kembali ke Puspa Ayu, kami berpusing-pusing sekitar Kuta , Jalan Legian. Rasanya ramai sangat Mat Salleh disini.Dengan disco-disco yang gemerlap ,macam kat depan the Beach. Masing-masing dengan botol arak masing-masing.

8 September, Jumaat

Bangun pagi pada pukul 10 pagi. Sebelum itu aku menghubungi Putu untuk mengesahkan perjalanan kami keesokkan hari. Aiseh, tempat yang sama dilawati. Hari ini kami hanya sempat pusing sekitar Kuta.Bosan sangat, so Pergi lah meronda-ronda di pantai Kuta pula. Memang ramai orang terutama Mat Salleh yang suka sangat dengan kegiatan surfing. Memandangkan ombak juga agak kuat. Bukan itu saja, yang nak berjemur pun boleh tahan ramainya. Aduh, memang tak boring lah lepak di pantai Kuta ni. Menjelang petang bila air surut ramai yang turun ke pantai dengan pelbagai aktiviti seperti bola dan berjalan-jalan sepanjang pantai.


9 September , Sabtu

Awal pagi...Ermm tak la awal sangat ,lebih kurang jam 9. Berjanji dengan Putu untuk berjumpa di Lobby "setengah jam sembilan", rupanya Putu merujuk kepada "setengah jam sebelum sembilan" iaitu 8.30am. Jadi pagi tersebut Putu yang datang ke bilik kami ketuk pintu. Dengan aku yang tak mandi lagi bergegas untuk bersiap. Sebab kami sepatutnya akan menonton Tarian Barong. Nama tempat tarian Barong tersebut dipersembahkan? Aku tak ingat.Sebenarnya banyak terdapat tempat yang mempersembahkan tarian Barong. Ada yang dipersembahkan di tempat awam. Tapi itu biasanya untuk penduduk setempat.Aku tidak memahami sangat tarian Barong , tapi Putu menjelaskan yang kesimpulannya Baik dan Jahat itu sentiasa ada.Macam Ying Yang agaknya. Tempat yang kami tuju pada pagi tersebut dikenakan bayaran sebanyak Rp50,000 seorang. Dan itulah tempat yang bayaran masuknya agak mahal. Tempat lain yang aku lawati semuanya sekitar Rp10,000-Rp20,000 seorang.

Kemudiannya kami singgah ke sebuah galeri pertukangan yang terletak di tepi jalan menuju ke Ubud. Di sini terdapat banyak ukiran patung terutamanya. Memang agak menakutkan buat kita yang tidak biasa dengan patung-patung. Seperti biasa , aku cuma melihat sahaja tanpa membeli, berbanding Fit yang sibuk membeli cenderamata. Tapi Fit cuma memilih ukiran berunsurkan tumbuhan sahaja.

Kemudian kami ke Monkey Forest Ubud. Bayaran : Rp10,000 . Di sini terdapat banyak monyet, atau orang Malaysia panggil kera. Terdapat Pura (kuil bagi orang Bali) yang agak lama. Menurut Putu, monyet di sini lebih berdisiplin dari monyet di Pura yang lain. Di sini monyet hanya mengambil makanan dari pelawat-pelawat.

Putu memberitahu yang di setengah-setengah tempat, monyetnya turut mengambil barang-barang lain seperti kamera, cermin mata, topi atau bende-benda lain. Dan untuk mendapatkan kembali barang-barang tersebut, biasanya anda terpaksa mengupah penduduk setempat dengan bayaran sekitar Rp200,000. Kenapa monyet-monyet tersebut bertindak sedemikian? Menurut Putu lagi, di Monkey Forest Ubud, Monyetnya selalu diberi makanan oleh pihak Penjaga Pura. DI tempat lain biasanya tidak!! Oleh itu , seperti ada 'perjanjian' antara monyet dan penduduk setempat yang mengambil kesempatan. Setiap monyet yang 'memulangkan; barang yang dicuri akan menerima 'habuan' dalam bentuk makanan. So semua orang dapat habuan kecuali anda tuan punya kamera yang bernasib malang. Kesiannya!!!

Perjalanan seterusnya ialah ke Gunung Batur, Gunung kedua tertinggi di Bali. Gunung tertinggi ialah Gunung Agung, gunung yang dianggap keramat bagi penduduk Hindu Bali. Tiba di atas gunung, bayaran melepasi pintu masuk ialah Rp4,000 seorang, kecuali pemandu pelancong yang tidak dikenakan bayaran.Kami menjamu selera di atas kawasan pergunungan tersebut. Sebuah restoran yang mengadap Gunung Batur dan Tasik Batur. Angin bertiup kencang dan sangat sejuk. Di kaki Gunung Batur terletaknya Tasik Batur. Putu bercerita yang di kaki Gunung Batur terdapat 2 buah kampung yang bernama Kampung Kayu dan Kampung Menyan (Risalah pelancongan Bali memanggil perkampungan ini sebagai Trunyan, kalau tidak silap). Di kampung tersebut terdapat sejenis kayu yang sentiasa berbau wangi, kayu menyan...aku pun tak pasti adakah menyan tersebut sama seperti kemenyan di Malaysia?.Malah kayu tersebut digunakan untuk upacara kematian dimana mayat diletakkan di bawah kayu tersebut.Cuma pagar didirikan untuk mengelakkan anjing memakan mayat tersebut.Menurut Putu lagi, pernah kayu tersebut cuba di tanam di luar dari kawasan tersebut. Tetapi hasilnya , kayu tersebut tidak berbau wangi seperti kayu di kampung Kayu and Kemenyan.

Aktiviti seterusnya ialah mengunjungi Pura Tirta Empul yang boleh dimasuki oleh pelawat.Bayaran : Rp4,000. Wah, ini yang aku tunggu!!! Masuk dalam kuil.Setiap pengunjung dikehendaki memakai, atau mengikat kain seakan sutera yang disediakan. Bagi yang memakai seluar pendek , turut diberikan kain batek. Patungnya memang banyak. dan disini terdapat 2 air mata air yang menjadi sumber air disini. Malah air dari mata air ini dianggap suci hinggakan disini pengunjung boleh melihat penganut agama hindu mandi disini.Mungkin mandi untuk menyucikan diri mereka. Menarik. Malah aku berkesempatan melihat sekeluarga yang sedang sibuk mandi sebagaimana upacara Hindu mereka. Dari yang kecil hingga yang tua.



Petang tersebut juga kami bergegas menuju je Tanah Lot. Perjalanan yang memakan masa hampir 2 jam. Aku siap tertidur sampai terhantuk-hantuk kepala ke cermin.

Kami sampai bila matahari telah terbenam. Ramai sangat pengunjung disini.Air laut surut hingga siap orang boleh berjalan menuju ke Pura Tanah Lot. Pura disini menarik kerana ia terletak di sebuah pulau kecil yang terpisah dari Pulau Bali bila air pasang. Pengunjung biasanya amat tertarik dengan suasana matahari terbenam di Tanah Lot. Dan kami terlepas sedikit suasana tersebut. Jadi memang tergopoh-gapah mengambil gambar.

Tamat sudah perjalanan kami untuk hari tersebut. Setiba di Kuta , kami mengambil keputusan untuk sekali lagi mengupah Putu untuk perjalanan ke Selatan Bali pula.
Bali, makan , tido..zzzzzzzzzzzzzzzz..

10 Septembar , Ahad

Bertolak pukul 11 pagi. Bayaran:Rp250,000.

Destinasi pertama ialah sebuah kawasan perlancongan yang mana akan didirikan patung Vishnu Kencana Garuda.Bayaran Rp10,000. Sekarang baru 20% siap. Vishnu ialah dewa kehidupan bagi agama hindu .Kencana bermaksud kenderaan, manakala seperti yang kita tahu Gharuda ialah burung garuda. Sekarang cuma siap bahagian patung Vishnu dan kepala Garuda. Tetapi bila lihat Garuda , aku dapat rasakan yang patung ini memang amat besar. Menurut Putu, patung tersebut lebih besar dari Patung Liberty, dan boleh dilihat dari Kuta. Kalau dilihat patung tersebut bakal terletak diatas bukit.



Selesai melihat patung tersebut, kami bertolak pula ke pantai Dreamland.Bayaran:Rp5,000. Asalnya pantai ini dibangunkan oleh Tommy Suharto. Tetapi memandang kan beliau sekarang sedang menjalani hukuman penjara. Projek tersebut tergendala . Bagaimanapun menurut Putu,beberapa bulan yang lalu terdapat sedikit projek yang kembali berjalan.Pada aku Dreamland mempunyai kawasan pantai yang cantik. Pantainya terletak di tepi tebing. Ombaknya memang kuat.Aku cuba untuk 'berendam' ,tapi hasilnya, aku siap berguling-guling dalam ombak.Memang capek, tapi rasanya OK sebab terdapat Minah Saleh mandi pakai seluar saje.

Destinasi kami yang seterusnya ialah Pura Uluwatu.Byaran:Rp10,000. Terletak di tebing yang amat tinggi. Dibina oleh Dwijendra. Sempat kami bergambar di tepi tebing yang langsung tiada penghadang. Berbahaya tapi memang menabjubkan. Permandangannya memang mengagumkan aku.Tak sangka aku akan sampai ketempat yang begini cantik.Sayup dibawah sana ombak menghempas tebing. Rupa-rupanya terdapat beberapa orang yang sedang turun melalui tebing yang curam tersebut. Wah, kalau aku memang tak berani mencuba turun di tebing yang memang 'menegak'. Tetapi disini ingin diingatkan yang monyet disini memang nakal dan teruk. Awas kamera anda, juga cermin mata anda. Simpan kalau boleh. Putu yang menemani kami turun membawa sebatang ranting bagi menghalau kalau-kalau ada monyet yang cuba mencuri barang-barang kami. Disini juga terdapat tarian Barong dipersembahkan. Memandangkan aku sudah menyaksikan persembahan Barong, jadi tarian di sini diabaikan sahaja.



Sebelum pulang ke Kuta kami singgah di Jimbaran. Jimbaran terkenal sebagai tempat makan ikan bakar. Putu mencadangkan kami Sharkey Cafe, sebab padanya restoran ini lebih bersih dan selesa buat kami. Kami turut mengundang Putu untuk turut serta bagaimanapun ditolaknya kerana beliau mengalami alahan terhadap makanan laut.Semuanya lebih kurang di Malaysia.Atau mungkin aku yang tak terperasan kalau terdapat masakan yang lain? Suasana di sini pada malam hari memang cantik, meja diletakkan di atas kawasan pasir pantai. Lebih menarik di Sharkey terdapat sekumpulan pemuda yang mempersembahkan ,mendendangkan lagu dari meja ke meja ,yang turut berserta dengan biola.Jadi bunyinya pada aku amat menarik. Selama ini aku cuma mendengar persembahan sebegitu cuma dengan gitar sahaja.

Jam 10 kami pulang semula ke Poppies II, Kuta.

11 Septembar ,Isnin

Kami daftar keluar pada jam 10 pagi. Putu mencadangkan kami meniggalkan beg di kaunter lobby memandangkan penerbangan balik jam 8 malam nanti. "Tidak jadi masalah" bilang penjaga lobby Tunjung Bali Inn. Setengah hari kami cuma berpusing sekitar Kuta. Membeli sedikit cenderahati dan melepak, tidur di pantai.Surfer memang ramai di pantai Kuta.Menjelang petang pula , ramai orang turun ke pantai yang surut dengan kegiatan permainan masing-masing. Jam 5.30 petang kami kembali ke Tunjung Bali Inn mengambil beg dan menuju ke Lapangan Terbang.

Jam 6 petang kami sudah pun berada di Ngurah Rai Airport. Tiba di LCCT jam 12 tengahmalam. Dan sekali lagi disambut oleh Midi yang baik hati .Memang aku berpuas hati dengan kembara aku kali ini. Nasib baik ada si Putu yang banyak menerangkan pada kami tentang tempat-tempat yang kami lawati.Turut memberi kami tips-tips untuk pelancong yang mentah seperti kami.

Tips untuk anda

  1. Kalau ke money changer,kira semula yang yang diberi. Sebab:Ada peniaga yang memasukkan semula wang ke dalam laci ketika urusniaga.
  2. Di Dreamland, kalau mahu sewa kerusi, tanye dahulu harganya.Rp30,000.
  3. Hindar beli barangan dengan penjual jalanan yang sudah siap membungkus barang jualan , sebab ada barang dalam bungkusan tidak sama dengan sample di tangan mereka.
  4. "Sudah dibeli baju ini... Ngak mahu..." ini ayat lazim yang patut korang gunakan pada jurujual.
  5. Apa-apa urusniaga mesti dimulakan dengan bertanya harga. Kalau di kedai makan, minta menu untuk kepastian.
  6. Nak dapat harga murah? Jangan mengaku anda org Malaysia, "Dari Medan , Mas" . Ramai orang Bali menyangka aku datang dari Jawa.
  7. Soalan "Berapa kali sudah datang ke Bali? " Jawapan " Sudah 5 kali ,Mas" , Kalau sebut pertama kali memang kamu kena titik laa hari tu..

Walaubagaimana pun aku ingat jelaskan yang Bali pada aku tempat yang selamat untuk dilawati, cuma menurut penduduk di Bali, bilangan pelancong amat berkurangan setelah peristiwa pengeboman yang kedua.

Sekian cerita aku tentang kembara ke Bali. Sori buat Afza yang menunggu bahan bacaan dari aku. Terima kasih kerana sabar menunggu. :)

Salam.