Kembara Bali

Melancong guna wang sendiri yang terhad,jadi destinasinya pun dekat saja dengan Malaysia.Kalau jauh-jauh tu rasanya tak mampu buat masa ini.Seperti yang kita semua tahu Bali memang terkenal dengan budaya dan upacara-upacara kehindunya. Memang menarik buat aku ,sebab di Malaysia kita tidak melihat mereka yang berwajah iras-iras aku ,atau lebih tepat berbangsa Nusantara bertafakur di kuil. Dengan tapak tangan masing-masing rapat, sambil memejam mata. Disini aku ceritakan tempat yang aku lawati dan budget belanja supaya boleh dijadikan panduan buat anda sekalian di suatu hari nanti. Mungkin ada antara kamu yang boleh turut berkongsi pengalaman disini.



Percutian aku ini turut disertai oleh sahabat aku ,Saudara Fitri.Atau lebih aku kenali sebagai Fit.Siapa tak tahu berkenaan promosi tambang rendah AirAsia. Jadi promosi yang sentiasa berjalan setiap masa ini, digunakan aku. Rasanya awal bulan Julai aku menempah tiket ke Bali.Terpampang di muka akhbar The Sun. Tanpa berlengah ,beritahu Fit dan terus setuju.Cuma tiket sahaja yang sudah pasti dapat. Yang lain , nanti bila sampai ke Bali nanti baru akan difikirkan.

7 September, Khamis

Lebih kurang pukul 1 petang kami sudah bertolak ke LCCT. Siapa yang menghantar kami ? Nasib baiklah ada si Midi yang teramat baik hati.Bekas teman serumah Fit yang baru sahaja melangsungkan perkahwinannya.Pada mulanya Midi turut merancang untuk turut serta, tetapi memandangkan majlis perkahwinan yang semakin sudah hampir pada ketika itu dan kesuntukan masa , hajat Midi nampaknya tidak kesampaian.Nak buat macam mana kan? Dalam menuju ke LCCT ,sempat juga kami singgah di Nilai untuk mengambil gambar perkahwinan Midi yang baru sahaja siap dicetak.Midi ni orang Nilai sebenarnya. Majlis tersebut sebenarnya turut menjadi seisi ekperimen aku dengan kamera terchinta.Lebih kurang pukul 4 check in dan berlepas ke Bali. Thanks buat Midi sekeluarga.

Tiba di Bali lebih kurang jam 8 malam. Mula-mula kami ambil teksi ke bandar Kuta. Aku dan Fit mulanya meminta pertolongan pemandu teksi mencadangkan hotel penginapan.Jadi pemandu tersebut mencadangkan sebuah banglo hotel ,Puspa Ayu Bungalow yang bayarannya Rp 180,000 semalam. Tapi rupanya bila kami survey, BANYAK lagi guesthose yang jauh lebih murah. Sakit jugak hati bila mula-mula yang terkena charge berlebihan.Orang pemalas macam kami mana nak buat survey sebelum pergi? Jangan haraplah...Malam tersebut kami cuma pusing-pusing sekitar bandar Kuta. Kami turut mengambil kesempatan bertanya tentang pemandu pelancong.Sebab dari laman-laman web di internet, ramai mencadangkan dapatkan pemandu pelancong untuk meronda-ronda di Pulau Bali.

Yang kami sakit hatinya , kebanyakan guesthouse kadar bayarannya jauh lebih rendah, malah lebih selesa @$#%^$^#$ .Setelah penat berpusing-pusing sekitar Kuta, kami tiba di Tunjung Bali Inn yang terletak di Jln Poppies II ,kadar sewanya Rp70,000 (+/- RM30) semalam.Penyambut tetamunya pada malam tersebut bernama Godang,beliau Penduduk asal Kuta.Kami diberi peluang untuk melihat dahulu contoh bilik yang ditawarkan.Setelah berpuas hati keadaan bilik yang ,terus kami menempah bilik untuk keesokan harinya.Selesai target untuk dapatkan bilik untuk orang-orang murahan seperti kami.Seterusnya ialah pemandu pelancong, Ehmm... memandangkan si Godang ni nampak macam OK, kami bertanya pula tentang sesiapa yang boleh menjadi pemandu pelancong kami. Beliau menolong kami mencadangkan pemandu pelancong yang bernama Putu.

Bila bertemu Putu kami berbincang tentang arah destinasi yang mahu kami lawati. Gunung,Ukiran Kayu,Tarian Barong,Ubud Monkey Forest,Tanah Lot,Pura.Aku pun tak tau sama ada bayaran nya mahal atau tidak, tapi pada kami murah dari harga-harga yang telah kami survey di sekitar Kuta pada malam tersebut. Rp350,000 (+/- RM150) Dengan naik Toyota Kijang, atau disini ala-ala Unser,tidak termasuk bayaran masuk . Memandangkan Putu sudah mempunyai pelanggan pada keesokkan harinya, jadi kami tidak menempah dahulu , sebabnya ...biasa aa..last minutes decision.

Sebelum kembali ke Puspa Ayu, kami berpusing-pusing sekitar Kuta , Jalan Legian. Rasanya ramai sangat Mat Salleh disini.Dengan disco-disco yang gemerlap ,macam kat depan the Beach. Masing-masing dengan botol arak masing-masing.

8 September, Jumaat

Bangun pagi pada pukul 10 pagi. Sebelum itu aku menghubungi Putu untuk mengesahkan perjalanan kami keesokkan hari. Aiseh, tempat yang sama dilawati. Hari ini kami hanya sempat pusing sekitar Kuta.Bosan sangat, so Pergi lah meronda-ronda di pantai Kuta pula. Memang ramai orang terutama Mat Salleh yang suka sangat dengan kegiatan surfing. Memandangkan ombak juga agak kuat. Bukan itu saja, yang nak berjemur pun boleh tahan ramainya. Aduh, memang tak boring lah lepak di pantai Kuta ni. Menjelang petang bila air surut ramai yang turun ke pantai dengan pelbagai aktiviti seperti bola dan berjalan-jalan sepanjang pantai.


9 September , Sabtu

Awal pagi...Ermm tak la awal sangat ,lebih kurang jam 9. Berjanji dengan Putu untuk berjumpa di Lobby "setengah jam sembilan", rupanya Putu merujuk kepada "setengah jam sebelum sembilan" iaitu 8.30am. Jadi pagi tersebut Putu yang datang ke bilik kami ketuk pintu. Dengan aku yang tak mandi lagi bergegas untuk bersiap. Sebab kami sepatutnya akan menonton Tarian Barong. Nama tempat tarian Barong tersebut dipersembahkan? Aku tak ingat.Sebenarnya banyak terdapat tempat yang mempersembahkan tarian Barong. Ada yang dipersembahkan di tempat awam. Tapi itu biasanya untuk penduduk setempat.Aku tidak memahami sangat tarian Barong , tapi Putu menjelaskan yang kesimpulannya Baik dan Jahat itu sentiasa ada.Macam Ying Yang agaknya. Tempat yang kami tuju pada pagi tersebut dikenakan bayaran sebanyak Rp50,000 seorang. Dan itulah tempat yang bayaran masuknya agak mahal. Tempat lain yang aku lawati semuanya sekitar Rp10,000-Rp20,000 seorang.

Kemudiannya kami singgah ke sebuah galeri pertukangan yang terletak di tepi jalan menuju ke Ubud. Di sini terdapat banyak ukiran patung terutamanya. Memang agak menakutkan buat kita yang tidak biasa dengan patung-patung. Seperti biasa , aku cuma melihat sahaja tanpa membeli, berbanding Fit yang sibuk membeli cenderamata. Tapi Fit cuma memilih ukiran berunsurkan tumbuhan sahaja.

Kemudian kami ke Monkey Forest Ubud. Bayaran : Rp10,000 . Di sini terdapat banyak monyet, atau orang Malaysia panggil kera. Terdapat Pura (kuil bagi orang Bali) yang agak lama. Menurut Putu, monyet di sini lebih berdisiplin dari monyet di Pura yang lain. Di sini monyet hanya mengambil makanan dari pelawat-pelawat.

Putu memberitahu yang di setengah-setengah tempat, monyetnya turut mengambil barang-barang lain seperti kamera, cermin mata, topi atau bende-benda lain. Dan untuk mendapatkan kembali barang-barang tersebut, biasanya anda terpaksa mengupah penduduk setempat dengan bayaran sekitar Rp200,000. Kenapa monyet-monyet tersebut bertindak sedemikian? Menurut Putu lagi, di Monkey Forest Ubud, Monyetnya selalu diberi makanan oleh pihak Penjaga Pura. DI tempat lain biasanya tidak!! Oleh itu , seperti ada 'perjanjian' antara monyet dan penduduk setempat yang mengambil kesempatan. Setiap monyet yang 'memulangkan; barang yang dicuri akan menerima 'habuan' dalam bentuk makanan. So semua orang dapat habuan kecuali anda tuan punya kamera yang bernasib malang. Kesiannya!!!

Perjalanan seterusnya ialah ke Gunung Batur, Gunung kedua tertinggi di Bali. Gunung tertinggi ialah Gunung Agung, gunung yang dianggap keramat bagi penduduk Hindu Bali. Tiba di atas gunung, bayaran melepasi pintu masuk ialah Rp4,000 seorang, kecuali pemandu pelancong yang tidak dikenakan bayaran.Kami menjamu selera di atas kawasan pergunungan tersebut. Sebuah restoran yang mengadap Gunung Batur dan Tasik Batur. Angin bertiup kencang dan sangat sejuk. Di kaki Gunung Batur terletaknya Tasik Batur. Putu bercerita yang di kaki Gunung Batur terdapat 2 buah kampung yang bernama Kampung Kayu dan Kampung Menyan (Risalah pelancongan Bali memanggil perkampungan ini sebagai Trunyan, kalau tidak silap). Di kampung tersebut terdapat sejenis kayu yang sentiasa berbau wangi, kayu menyan...aku pun tak pasti adakah menyan tersebut sama seperti kemenyan di Malaysia?.Malah kayu tersebut digunakan untuk upacara kematian dimana mayat diletakkan di bawah kayu tersebut.Cuma pagar didirikan untuk mengelakkan anjing memakan mayat tersebut.Menurut Putu lagi, pernah kayu tersebut cuba di tanam di luar dari kawasan tersebut. Tetapi hasilnya , kayu tersebut tidak berbau wangi seperti kayu di kampung Kayu and Kemenyan.

Aktiviti seterusnya ialah mengunjungi Pura Tirta Empul yang boleh dimasuki oleh pelawat.Bayaran : Rp4,000. Wah, ini yang aku tunggu!!! Masuk dalam kuil.Setiap pengunjung dikehendaki memakai, atau mengikat kain seakan sutera yang disediakan. Bagi yang memakai seluar pendek , turut diberikan kain batek. Patungnya memang banyak. dan disini terdapat 2 air mata air yang menjadi sumber air disini. Malah air dari mata air ini dianggap suci hinggakan disini pengunjung boleh melihat penganut agama hindu mandi disini.Mungkin mandi untuk menyucikan diri mereka. Menarik. Malah aku berkesempatan melihat sekeluarga yang sedang sibuk mandi sebagaimana upacara Hindu mereka. Dari yang kecil hingga yang tua.



Petang tersebut juga kami bergegas menuju je Tanah Lot. Perjalanan yang memakan masa hampir 2 jam. Aku siap tertidur sampai terhantuk-hantuk kepala ke cermin.

Kami sampai bila matahari telah terbenam. Ramai sangat pengunjung disini.Air laut surut hingga siap orang boleh berjalan menuju ke Pura Tanah Lot. Pura disini menarik kerana ia terletak di sebuah pulau kecil yang terpisah dari Pulau Bali bila air pasang. Pengunjung biasanya amat tertarik dengan suasana matahari terbenam di Tanah Lot. Dan kami terlepas sedikit suasana tersebut. Jadi memang tergopoh-gapah mengambil gambar.

Tamat sudah perjalanan kami untuk hari tersebut. Setiba di Kuta , kami mengambil keputusan untuk sekali lagi mengupah Putu untuk perjalanan ke Selatan Bali pula.
Bali, makan , tido..zzzzzzzzzzzzzzzz..

10 Septembar , Ahad

Bertolak pukul 11 pagi. Bayaran:Rp250,000.

Destinasi pertama ialah sebuah kawasan perlancongan yang mana akan didirikan patung Vishnu Kencana Garuda.Bayaran Rp10,000. Sekarang baru 20% siap. Vishnu ialah dewa kehidupan bagi agama hindu .Kencana bermaksud kenderaan, manakala seperti yang kita tahu Gharuda ialah burung garuda. Sekarang cuma siap bahagian patung Vishnu dan kepala Garuda. Tetapi bila lihat Garuda , aku dapat rasakan yang patung ini memang amat besar. Menurut Putu, patung tersebut lebih besar dari Patung Liberty, dan boleh dilihat dari Kuta. Kalau dilihat patung tersebut bakal terletak diatas bukit.



Selesai melihat patung tersebut, kami bertolak pula ke pantai Dreamland.Bayaran:Rp5,000. Asalnya pantai ini dibangunkan oleh Tommy Suharto. Tetapi memandang kan beliau sekarang sedang menjalani hukuman penjara. Projek tersebut tergendala . Bagaimanapun menurut Putu,beberapa bulan yang lalu terdapat sedikit projek yang kembali berjalan.Pada aku Dreamland mempunyai kawasan pantai yang cantik. Pantainya terletak di tepi tebing. Ombaknya memang kuat.Aku cuba untuk 'berendam' ,tapi hasilnya, aku siap berguling-guling dalam ombak.Memang capek, tapi rasanya OK sebab terdapat Minah Saleh mandi pakai seluar saje.

Destinasi kami yang seterusnya ialah Pura Uluwatu.Byaran:Rp10,000. Terletak di tebing yang amat tinggi. Dibina oleh Dwijendra. Sempat kami bergambar di tepi tebing yang langsung tiada penghadang. Berbahaya tapi memang menabjubkan. Permandangannya memang mengagumkan aku.Tak sangka aku akan sampai ketempat yang begini cantik.Sayup dibawah sana ombak menghempas tebing. Rupa-rupanya terdapat beberapa orang yang sedang turun melalui tebing yang curam tersebut. Wah, kalau aku memang tak berani mencuba turun di tebing yang memang 'menegak'. Tetapi disini ingin diingatkan yang monyet disini memang nakal dan teruk. Awas kamera anda, juga cermin mata anda. Simpan kalau boleh. Putu yang menemani kami turun membawa sebatang ranting bagi menghalau kalau-kalau ada monyet yang cuba mencuri barang-barang kami. Disini juga terdapat tarian Barong dipersembahkan. Memandangkan aku sudah menyaksikan persembahan Barong, jadi tarian di sini diabaikan sahaja.



Sebelum pulang ke Kuta kami singgah di Jimbaran. Jimbaran terkenal sebagai tempat makan ikan bakar. Putu mencadangkan kami Sharkey Cafe, sebab padanya restoran ini lebih bersih dan selesa buat kami. Kami turut mengundang Putu untuk turut serta bagaimanapun ditolaknya kerana beliau mengalami alahan terhadap makanan laut.Semuanya lebih kurang di Malaysia.Atau mungkin aku yang tak terperasan kalau terdapat masakan yang lain? Suasana di sini pada malam hari memang cantik, meja diletakkan di atas kawasan pasir pantai. Lebih menarik di Sharkey terdapat sekumpulan pemuda yang mempersembahkan ,mendendangkan lagu dari meja ke meja ,yang turut berserta dengan biola.Jadi bunyinya pada aku amat menarik. Selama ini aku cuma mendengar persembahan sebegitu cuma dengan gitar sahaja.

Jam 10 kami pulang semula ke Poppies II, Kuta.

11 Septembar ,Isnin

Kami daftar keluar pada jam 10 pagi. Putu mencadangkan kami meniggalkan beg di kaunter lobby memandangkan penerbangan balik jam 8 malam nanti. "Tidak jadi masalah" bilang penjaga lobby Tunjung Bali Inn. Setengah hari kami cuma berpusing sekitar Kuta. Membeli sedikit cenderahati dan melepak, tidur di pantai.Surfer memang ramai di pantai Kuta.Menjelang petang pula , ramai orang turun ke pantai yang surut dengan kegiatan permainan masing-masing. Jam 5.30 petang kami kembali ke Tunjung Bali Inn mengambil beg dan menuju ke Lapangan Terbang.

Jam 6 petang kami sudah pun berada di Ngurah Rai Airport. Tiba di LCCT jam 12 tengahmalam. Dan sekali lagi disambut oleh Midi yang baik hati .Memang aku berpuas hati dengan kembara aku kali ini. Nasib baik ada si Putu yang banyak menerangkan pada kami tentang tempat-tempat yang kami lawati.Turut memberi kami tips-tips untuk pelancong yang mentah seperti kami.

Tips untuk anda

  1. Kalau ke money changer,kira semula yang yang diberi. Sebab:Ada peniaga yang memasukkan semula wang ke dalam laci ketika urusniaga.
  2. Di Dreamland, kalau mahu sewa kerusi, tanye dahulu harganya.Rp30,000.
  3. Hindar beli barangan dengan penjual jalanan yang sudah siap membungkus barang jualan , sebab ada barang dalam bungkusan tidak sama dengan sample di tangan mereka.
  4. "Sudah dibeli baju ini... Ngak mahu..." ini ayat lazim yang patut korang gunakan pada jurujual.
  5. Apa-apa urusniaga mesti dimulakan dengan bertanya harga. Kalau di kedai makan, minta menu untuk kepastian.
  6. Nak dapat harga murah? Jangan mengaku anda org Malaysia, "Dari Medan , Mas" . Ramai orang Bali menyangka aku datang dari Jawa.
  7. Soalan "Berapa kali sudah datang ke Bali? " Jawapan " Sudah 5 kali ,Mas" , Kalau sebut pertama kali memang kamu kena titik laa hari tu..

Walaubagaimana pun aku ingat jelaskan yang Bali pada aku tempat yang selamat untuk dilawati, cuma menurut penduduk di Bali, bilangan pelancong amat berkurangan setelah peristiwa pengeboman yang kedua.

Sekian cerita aku tentang kembara ke Bali. Sori buat Afza yang menunggu bahan bacaan dari aku. Terima kasih kerana sabar menunggu. :)

Salam.

Dari Coca Cola ke Mecca Cola

Biasa nya kalau kita minum di kedai mamak sambil berbual dengan rakan-rakan, ada antara kita memesan minuman berjenama Coca Cola. Normal pada aku, juga buat kamu semua. Apa beza Coca Cola dengan jenama Mecca Cola? atau jenama-jenama lain? Banyak jenama lain tapi kita tak ambil kisah. Bagi kita ,pesan saja Coca Cola sebab senang, semua kedai mesti ada Coca Cola.

Tetapi cuba kalau ada permintaan dari pelanggan minta jenama lain. Kalau seorang dua mungkin mamak tanak layan , tapi kalau hampir semua orang tanya lambat laut mesti mamak tu order jenama lain juga untuk mengisi permintaan yang ada. Silap-silap nanti ada pula stiker "Mecca Cola dijual di sini".

Kenapa aku beri contoh Mecca Cola? Mecca Cola itu cuma sebagai contoh sahaja sebenarnya. Banyak lagi jenama lain yang kamu boleh dapati di luar sana. Tapi aku amat harap kamu semua sedar tentang kuasa ekonomi yang ada di tangan kamu. Lebih-lebih lagi dengan perkembangan terbaru di Semenanjung Gaza dan Selatan Lubnan.

Dunia sekarang semua berkisar tentang ekonomi dan perniagaan. Semua peperangan dibiayai dengan wang dan sokongan dari mereka yang berkuasa. Kita nak luahkan perasaan dengan demonstrasi? Mungkin berkesan sedikit tetapi akan beri impak kepada kita sendiri dari segi keyakinan pelabur. So kekalkan keyakinan pelabur tapi lawan secara ekonomi. Dengan cara perbelanjaan harian kamu. Itu saja kudrat yang aku mampu.

Mulakanlah "Mamak, Mecca Cola satu".

Hijrah

Jam sudah menunjukan pukul 5 pagi, aku masih lagi belum tidur. Setelah seharian berada di ibusawat, mencuba sedaya upaya menyelesaikan masalah dengan server.Rutin yang amat biasa bagi aku dan rakan sekerja yang lain. Habis sahaja tugas, GM kami menjemput minum bersama sambil menonton perlawanan Piala Dunia antara England dan Trinidad Tobago. Meriah juga dengan Najib amat berharap England kalah. Tapi nyata Najib kecewa bila Crouch akhirnya berjaya menjaringkan gol.Kesudahannya England menang dengan jaringan 2-0.Setelah selesai seisi lepak kedai mamak, aku berusaha menyiapkan laporan brekenaan masalah yang dihadapi pada hari ini. Dengan mata yang amat kuyu.Memang mengantuk yang amat sungguh.

Tiba-tiba semasa menyiapkan laporan bersama Jai dan Najib,datang si Fauzi.Antara kenalan pertama yang aku kenali di syarikat ini.

"Diorang yang pergi Saudi dah kirim gambar,sorang-sorang dah nampak macam Pak Arab" ujar Fauzi.

Sebenarnya Fauzi merujuk kepada beberapa rakan kerja yang mengambil keputusan bertukar kerja ke Arab Saudi. Bila terdengar kisah mereka ,semacam terasa ingin turut sama mencuba nasib di luar sana. Masalahnya ialah "comfort zone" yang memerangkap aku. Apa salahnya kalau aku mencuba ,bukan?

Dalam era globalisasi ini macam-macam boleh terjadi. Syarikat bergabung, bilangan pekerja dikurangkan dan kadang-kadang kos syarikat cuba diturunkan serendah yang boleh. Tapi sebenarnya bagi mereka yang berkebolehan, atau berkemahiran anda boleh berhijrah jika berani seperti mereka-mereka yang berhijrah ke Saudi ini. Memang aku berangan-angan untuk turut berhijrah sebelum terlambat. Tapi ,rasanya aku ini antara mereka yang tiada keberaniaan langsung agaknya?.Dalam hati,aku cuma berharap biarlah Tuhan tentukan yang terbaik buat diri ini. Kesudahannya seperti yang lain , 5 tahun akan datang aku masih lagi di tempat yang sama...agaknya. :)

Sabah Boleh Bah!!!

Memang Sabah merupakan tempat yang ingin penulis redah sejak dari dulu.Pelbagai destinasi seperti pantai,laut,gunung dan bermacam-macam lagi.Sebenarnya perjalanan penulis bermula dari Miri,Brunei,Labuan,Kota Kinabalu dan seterusnya Tawau.Tetapi penulis banyak menghabiskan masa di Sabah. Walaupun berada di Tawau, penulis tidak berkesempatan untuk meronda di sekitar Tawau. Memang ada hajat untuk meredah lautan menuju ke Pulau Sipadan tetapi disebabkan tiada perancangan yang baik penulis gagal mendapatkan permit ke Pulau Sipadan. Namun ada baiknya juga, sekurang-kurangnyapenulis tahu di mana agen termurah untuk ke Pulau Sipadan.Terima kasih buat Adam yang membantu penulis .Jadi terpaksalah penulis menangguhkan hajat ke Pulau Sipadan buat masa ini.

Penulis kemudiannya bergegas kembali ke Kota Kinabalu disebabkan terdapat sedikit tugas yang perlu dibereskan di sana.Selesai saja tugas penulis tidak menunggu lama. Destinasi pertama Pulau Manukan. Mudah untuk anda ke Pulau manukan sebenarnya. Dengan tambang sebanyak RM21 penulis menghabiskan masa sepanjang petang di Manukan. Pulau Manukan merupakan salah satu pulau di dalam Taman Marin Tunku Abdul Rahman selain Pulau Sapi, Gaya ,Mamutik dan Sulug.

Hari yang berikutnya penulis telah melawat ke Tips of Borneo-Tanjung Simpang Mengayau di Kudat. Perjalanan memakan masa lebih kurang 3 jam setengah.Tanjung ini merupakan bahagian paling utara bagi Pulau Borneo. Kalau anda merujuk kepada peta Negeri Sabah. Tips of Borneo merupakan bahagian tanduk negeri Sabah. Disebelah kanan Laut Sulu dan di sebelah kiri Laut Cina Selatan.Apa yang amat penulis kagumi ialah tiupan angin disini.Memang kuat tidak henti-henti bertiup. Biasanya di Semenanjung angin bertiup dikala hujan atau ribut.Tapi disini angin bertiup kencang sepanjang masa. Pada masa penulis berada di sini juga Pihak Badan Pelancongan Sabah(Sabah Tourism Board) turut menjemput sebuat kumpulan orkestra dari Kota Kinabalu mengadakan pertunjukan orkestra mereka. Merujuk kepada Sunset Symphony at the Tips of Borneo. Ini merupakan tahun kedua acara ini diadakan. Tahun ini acara ini diadakan sempena dengan bulan penuh atau mengambang pada 13 Mei dan cuma berlaku sekali dalam masa 19 tahun. Memang tuah buat penulis .Acara ini dilangsungkan sebelum matahari terbenam hinggalah bulan mengambang penuh. Memang menarik dan amat mengentuh perasaan buat penulis.

Pada malam itu juga penulis telah meneruskan perjalanan ke Kundasang yang berada di kaki Gunung Kinabalu. Saudara Hafis dan penulis meneruskan perjalanan kami pada malam tersebut setelah makan malam di bandar Kudat. Sepanjang perjalanan jelas kelihatan bulan mengambang penuh . Dari Kundangan ke Kota BelutKemudiannya meredah sebuah perkampungan di Kota Belud menuju terus ke Kundasang. Awal-awal lagi kami menempah bilik di Kinabalu Pines. Kami tiba lebih kurang pukul 11.30 malam. Esok paginya penulis bangun awal bagi menikmati suasana pagi di Kaki gunung Kinabalu ini.Bagi penulis pengalaman ini amat berharga dan berbeza dengan suasana bangun pagi dengan meredah kesesakan lalu di Kuala Lumpur. Di Kundasang penulis sempat mengunjungi HQ tempat pemanjat Gunugn Kinabalu memulakan perjalanan. Tidak lupa Pekan Kundasang tempat pemborong sayur menjalankan urus niaga mereka.

Seterusnya penulis menuju ke Ranau yang terletak tidak jauh dari Kundasang. Di Ranau destinasi yang dituju ialah Kolam Air Panas Poring. Tetapi penulis banyak menhabiskan masa berendam di sebuah air terjun yang terletak 300m dari Kolam ir Panas Poring. Penulis juga amat suka pemandangan Gunung Kinabalu sepanjang jalan Kundasang ke Ranau. Seperti bukan berada di negara sendiri.Setelah puas meredah Ranau dan Kundasang kami kembali ke Kota Kinabalu.

Buat penulis Sabah sememangnya tempat yang sesuai untuk anda berjalan-jalan. Berkeluarga
atau pun berkelana seorang diri. Rancanglah perjalanan anda dengan baik.

Dikesempatan ini penulis ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat Adam, Hafiz,Indah dan juga Ita yang banyak membantu penulis sepanjang berada di Sabah. Jemputlah datang ke KL bila kalian berkesempatan nanti. Kesemua gambar-gambar kenangan penulis bakal diletakkan di laman fotopages penulis sedikit masa lagi.Terima kasih buat semua.

Tips buat backpacker

Beberapa minggu yang sudah penulis telah berkesempatan meluangkan masa ke Miri,Brunei dan juga Sabah.
Dalam perjalanan yang memakan masa lebih dari seminggu itu penulis rasa ada baiknya
memberi sedikit tips untuk anda sekalian.Tapi bergantung kepada kesesuaian dengan diri anda

  • Kalau memakai kasut, jika perlu memakai stokin, pastikan ada memakai stokin.Kaki anda boleh melecet jika anda tidak memakai stokin. Lagi bagus jika anda memakai sandal. Bergantung kepada cuaca.
  • Bawa toiletries yang kecil, mudah bagi anda membawa ke sana sini.Dan kalau tertinggal pun anda kurang terkilan.
  • Bawa sedikit pakaian bagi mengurangkan beban yang bakal anda angkat. Beli pakaian di tempat anda lawati kalau boleh, tapi bergantung juga kepada tukaran wang asing dan kemampuan anda, Tentu mahal jika anda melancong ke negara2 Eropah, jadi bergantung kepada anda. Tapi penulis nasihat bawa pakaian yang sesuai dengan cuaca.
  • Pastikan anda membawa wang yang cukup. Penulis mengalami masalah wang tunai bila berada di Brunei.Walaubagaimana pun penulis bernasib baik kerana sahabat penulis di sana membantu. Terima kasih Azizi.
  • Cendaramata? Sebenarnya penulis bukan jenis yang suka membeli cenderamata. Penulis banyak mengahabiskan masa dengan berjalan, menjelajah, makan,berendam dan mengambil gambar. Perhatian! Terlampau banyak cenderamata akan menyebabkan anda menambah beban beg anda
  • Jam tangan? Semasa di Sabah, atas kecuian penulis sendiri penulis kehilangan jam tangan milik penulis. Mujurlah jam tangan tersebut bukanlah harta yang penulis anggap terlampau bernilai.Kesimpulan buat diri penulis ialah. Sebolehnya jangan bawa barangan yang yang mahal. sebab bila hilang kurang sedikit rasa terkilan :P
  • Mudah kalau anda ada mengenali atau kenalan yag merupakan penduduk tempatan kawasan tersebut bila melancong. Terima kasih buat Saudara Hafiz yang sudi menjadi tourist guide buat penulis.
  • Buka mulut. Tegur orang disekitar. Baik untuk diri anada disaat-saat tertentu.Ditambah seronok buat penulis bila cuba menurut cara percakapan orang Sabah bah.
  • Enjoy. No Boss around. No Email Inbox dipagi hari. Nikmati saat perjalanan anda dengan baik. Buat mereka yang bujang Night live di Sabah memang happening, jadi kalau ada kawan-kawan mungkin lebih meriah.
  • Ingat! jangan terlampau lama menghabiskan masa dengan tidur .. Rugi. Nikmati saat awal pagi menghirup udara nyaman dan sinaran matahari.

Banyak lagi yang boleh anda jadikan panduan sebenarnya. Ambilah kesempatan mengembara dikala anda masih gagah melangkah.


Syazwan Posted by Picasa

Tinggalan Barang-barang di OUG


Cuti hujung minggu yang lalu penulis menggunakan kesempatan masa yang ada untuk mengangkut saki baki barang-barang kepunyaan penulis di OUG. Disebabkan tidak dapat mengawal sikap tamak haloba ,penulis turut mengangkut barang-barang yang rasanya berguna untuk keperluan diri .Beberapa barang-barang turut penulis serahkan kepada adik penulis yang juga dalam proses perpindahan ke Kelana Jaya. Hajat dihati sebenarnya mahu mengadakan Garaj Sale. Tapi di sebabkan kesuntukan masa hasrat tersebut terpaksa dibatalkan.

Masih terdapat beberapa barang-barang yang masih tidak dipindahkan. Antaranya ialah seperti lampiran gambar selain dari dapur , pinggan ,mangkuk, cawan dan BBQ set murah . Yang lain-lain seperti katil kepunyaan penulis telah dibuang kerana rasanya keadaan katil yang uzur mungkin kurang selesa buat mereka yang bakal menggunakannya.

Penulis akan kembali sekali lagi bagi membersihkan ramah untuk kali terakhir sebelum 8hb March. Pesanan buat Qusairy, jangan lupa passport anda.Dalam kotak sebelah pintu bilik Muzammil.

Memperdaya Pihak Musuh

"Too many people spend money they haven't earned, to buy things they don't want,to impress people they don't like."
Queted by Will Smith. Petikan dari Reader's Digest Keluaran Mei 2005.

Ayat yang mengingatkan penulis kepada sesuatu.Kenapa kita perlu menghabiskan duit untuk memuaskan hati orang lain.Ataupun kenapa kita rasa puas bila melihat orang yang kita tidak suka tergamam bila kita memiliki sesuatu yang mahal atau mewah. Padahal kemudian hari kita sendiri yang sesak.

Tapi kebiasaannya kita mahu orang kagum dengan kita. Tapi bagaimana caranya tanpa menghabiskan ribuan wang anda? Saya ingin berikan cadangan tapi mungkin melibatkan sedikit dosa . Pinjam. Pinjam saja kereta mewah kawan-kawan atau sedara anda dan pergilah menunjuk-nunjuk di Bangsar atau Hartamas. Di sana mereka hanya berjumpa dengan anda pada malam tersebut sahaja. Satu lagi untuk maklumat anda ,hakmilik kereta tersebut hanya dinyatakan di atas geran kereta bukan pada hud kereta, bukan pada cermin kereta. Jadi pergi kenduri kawan rakan anda dengan kereta mewah yang dipinjam dan biar orang membuat tanggapan sendiri.

Hipokrit? Mungkin betul mungkin tidak, tapi janganlah ambil serius .Sebab penulis lebih membenci jenis orang yang tikam belakang , memandang rendah orang lain atau menghabiskan duit rakyat. Lagi pun hipokrit bagi penulis banyak memfokusklan sikap anda dalam berkawan dengan orang lain.

Kenapa penulis beri cadangan begini? Sebab manusia memang cepat kagum dengan kebendaan. Jarang ada manusia yang mahu berkongsi keperitan yang anda lalui sebelum berjaya. Jadi apa salahnya anda menipu manusia sebegini? Orang yang baik tidak hiraukan jenis kereta yang anda miliki . Orang yang kurang baik? Mungkin dia akan menyelidik sedalam-dalamnya untuk mengetahui tentang kereta anda atau mungkin menekan kalkulator mengira gaji bulanan anda dan mungkin tidak berpuas hati dengan pencapaian anda. Seronok bukan? Orang yang baik tetap berkawan dengan anda walaupun anda jatuh miskin keesokan harinya. Seperti penulislah.

Hiduplah secara sederhana. Sedarlah lagi kaya hidup anda, lagi banyak tanggungjawab yang dipikul. Banyak tanggungjawab, banyak tekanan(stress) yang bakal anda terima. Kalau tidak pandai mengurus tekanan dengan baik lambat laut anda diserang sakit jantung. Kasihan. Nikmatilah wang anda dengan baik seperti melancong, menjaga mencantikkan tubuh anda,melayan hobi atau menolong ahli keluarga anda yang ramai itu. Jangan pula lupa membayar zakat .

Ehem!Ehem! Satu lagi,ada segolongan manusia yang tidak mahu rugi seorang diri. Jadi setiap pembelian akan 'dijemput' rakan lain supaya boleh rugi bersama-sama. Tapi kadang-kadang bagus juga. Sekurang-kurangnya anda masih ada kawan . Ya,kawan yang berusaha menghabiskan wang anda yang sedikit itu.

Jangan risau dengan tulisan saya ini, yang penting anda bahagia dengan cara anda.